Monday, July 22, 2013

Jerebu kembali lagi

2013/07/22 - 07:01:54 AM Oleh Syed Azwan Syed Ali | bhnews@mediaprima.com.my
   
159 titik panas dikesan di Sumatera, Bukit Rambai dan Cheras catat IPU 111 serta 101

Kuala Lumpur: Negara ini berkemungkinan dilanda jerebu pusingan kedua jika pembakaran terus berlaku di Sumatera, Indonesia, yang diburukkan lagi dengan cuaca kering berterusan dan musim Monsun Barat Daya.

Semalam, Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) Singapura meramalkan, republik itu mungkin mengalami jerebu beberapa hari lagi dengan peningkatan titik panas mencecah 159 lokasi di Sumatera, sekali gus menggambarkan pembakaran hutan tercetus semula.

IPU tidak sihat meningkat

Sehingga 5 petang semalam, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat direkodkan di Bukit Rambai, Melaka dan Cheras (Kuala Lumpur), masing-masing 111 dan 101.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Che Gayah Ismail ketika dihubungi BH, tidak menolak kemungkinan berlakunya jerebu kali kedua di negara ini, antaranya kerana faktor angin Monsun Barat Daya sehingga Oktober depan yang memburukkan lagi keadaan, berikutan angin itu menghala ke arah Semenanjung.

“Kemungkinan jerebu (pusingan kedua) boleh berlaku jika berlakunya pembakaran di Sumatera. Cuaca kering... tiada hujan akan memburukkan keadaan,” katanya.

Beliau mengulas laporan BERNAMA yang memetik ramalan NEA bahawa Singapura mungkin dilanda jerebu dalam beberapa hari lagi ekoran cuaca kering di Sumatera.
NEA menyatakan ia akan mengeluarkan amaran seterusnya jika keadaan itu berlaku dan menambah jumlah titik panas di Sumatera dikesan satelit NOAA 18 meningkat secara mendadak sejak dua hari lalu sehingga mencecah 159 titik panas, kelmarin.

63 titik panas di Riau

Daripada jumlah itu, 63 titik panas dikesan di wilayah Riau di Sumatera Tengah, kira-kira 280 kilometer dari Singapura, dengan kepulan asapnya kelihatan dari titik panas berkenaan.

Titik panas itu turut dikesan lebih ke utara di Aceh dan Sumatera Utara.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya turut memaklumkan peningkatan bacaan indeks IPU pada bacaan tidak sihat di Bukit Rambai dan tahap sederhana di beberapa kawasan lain dipengaruhi jerebu merentasi sempadan.

Katanya, peningkatan bacaan IPU di Cheras disebabkan pencemar ozon di permukaan bumi yang lazimnya berlaku pada awal petang akibat tindak balas oksid nitrogen dan sebatian organik meruap daripada pelepasan ekzos kenderaan bermotor yang membentuk ozon di permukaan bumi.

Beberapa kawasan lain yang mencatatkan bacaan IPU tahap sederhana, termasuk Bandaraya Melaka (88), Pelabuhan Klang (91) dan Port Dickson (79).

Menurut kenyataan itu, ada lima titik panas dikesan di dalam negara iaitu di Johor (empat) dan Sarawak (satu).

Musim Monsun Barat Daya dengan cuaca panas dan kering yang dialami negara ini bermula Jun lalu dijangka berterusan sehingga awal Oktober depan. Metro

0 comments:

Post a Comment

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...