Wednesday, October 28, 2015

45,619 calon duduki peperiksaan Penggal 3 STPM

KUALA LUMPUR - Sebanyak 45,619 calon bakal menduduki peperiksaan Penggal 3 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 di 742 pusat peperiksaan di seluruh negara pada 2, 3, 4, 5 dan 16 November.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu, sebanyak 44,999 adalah calon sekolah kerajaan, 346 calon sekolah swasta, 266 calon persendirian dan lapan calon sekolah kerajaan negeri.

Sementara itu, sebanyak 52,136 calon pula akan menduduki peperiksaan Penggal 1 STPM 2016 di 726 pusat peperiksaan pada 17, 19, 23 dan 24 Nov ini.

Daripada bilangan itu, sebanyak 51,737 adalah calon sekolah kerajaan, 286 calon sekolah swasta, 98 calon persendirian dan 15 calon sekolah kerajaan negeri, kata kenyataan itu.

MPM berkata peperiksaan Ulangan Penggal 1 STPM 2015 akan diadakan pada tarikh yang sama dengan peperiksaan Penggal 1 STPM 2016, melibatkan 38,938 calon.

Sementara peperiksaan Ulangan Penggal 2 STPM 2015 pula akan diadakan pada 25, 26, 30 dan 1 Dis, melibatkan 37,249 calon.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata Ujian Malaysian University English Test (MUET) sesi November 2015, akan dijalankan pada 7 Nov ini di 687 pusat ujian melibatkan sebanyak 79,616 calon.

Sehubungan itu, kesemua calon dinasihati supaya sentiasa membawa kad pengenalan dan Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon (LPKC) bagi peperiksaan STPM dan Slip Daftar MUET (MUET/D) bagi MUET, semasa hadir menduduki peperiksaan.

Selain itu, calon juga dinasihati supaya menyemak nama pusat peperiksaanyang akan diduduki bagi mengelak daripada hadir di pusat peperiksaan yang salah.

Calon boleh mencetak LPKC dan MUET/D masing-masing melalui Portal MPM di http://www.mpm.edu.my.

MPM berkata sekiranya jerebu masih berlaku semasa peperiksaan berlangsung, calon dinasihat memakai alat pelindungan pernafasan dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib.

Jika berlaku sebarang bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh yang mengakibatkan calon sukar sampai ke pusat peperiksaan mereka, calon dinasihati supaya pergi ke pusat peperiksaan lain yang berdekatan dan melaporkan diri kepada Ketua Pengawas di pusat peperiksaan berkenaan, bagi menduduki kertas peperiksaan pada hari tersebut. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...