Sunday, October 25, 2015

Graduan jangan terlalu pilih kerja: Permaisuri Johor

JOHOR BAHARU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah menasihatkan graduan yang baharu saja tamat pengajian supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dalam ketidaktentuan ekonomi kini.

Baginda bertitah: "Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini sudah pasti cabaran dan kekangan dalam mendapatkan pekerjaan idaman terhad dan persaingannya juga hebat. "Justeru, graduan hendaklah bijak mengambil peluang dan merebut apa jua program yang dianjurkan kerajaan bagi membantu anda mencari pekerjaan," titah baginda ketika merasmikan sesi pertama konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-55, di sini hari ini.

Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM turut berharap agar graduan tidak melupakan jasa dan pengorbanan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan motivasi ketika mereka mengikuti pengajian. "Teruskanlah berbakti, mudah-mudahan kehidupan anda bertambah berkat," titah baginda.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 5,543 graduan menerima anugerah masing-masing iaitu 325 orang bagi Ijazah Doktor Falsafah; 951 (Ijazah Sarjana); 2,988 (Ijazah Sarjana Muda); 633 (Diploma) dan 651 (Diploma Program Kerjasama UTMSPACE). Dari jumlah itu, 406 orang adalah graduan antarabangsa dari 30 negara.

Sementara itu, dalam majlis sama, Permaisuri Johor turut berkenan mengurniakan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Penganugerahan itu bagi menghargai sumbangan beliau dalam memartabatkan institusi pengajian tinggi ke tahap yang boleh dibanggakan ketika menjadi Menteri Pengajian Tinggi dahulu.

Presiden Kolej Imperial London, Professor Alice Gast turut menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan sebagai mengiktiraf kepimpinan beliau dalam bidang akademik dan sumbangannya terhadap penyelidikan kejuruteraan dan sains. --  BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...