Saturday, October 31, 2015

Peluang pemegang sijil, diploma Kemas masuk U

IPOH - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan mengesyorkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengetepikan pra syarat kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan pelajar yang mempunyai kursus kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menyambung pengajian peringkat ijazah di universiti tempatan.  
  
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kertas cadangan akan diserahkan kepada Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh dan sekiranya perlu ia akan dibentangkan dalam kabinet.
  
"Pelajar yang mempunyai kursus kemahiran KEMAS di peringkat sijil dan diploma, syarat sekarang untuk memasuki universiti perlu ada sijil SPM tetapi saya minta dikecualikan (SPM).
 
Ini adalah untuk memberi peluang lebih ramai pelajar terutama masyarakat luar bandar melanjutkan pelajaran tanpa SPM," katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia kali ke-8 di sini hari ini.
  
Pada majlis itu, Ismail Sabri menyampaikan sijil dan diploma pelbagai bidang kemahiran kepada 127 penerima.

Beliau berkata, bagi pelajar yang mempunyai kursus kemahiran di Giatmara, kementerian telah menyiapkan kertas cadangan berkenaan dan akan membentangkannya kepada Menteri Pendidikan Tinggi dalam masa terdekat.
  
"Selepas ini, sekiranya mereka ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan makanan dan sebagainya yang terdapat di Universiti Kuala Lumpur, mereka boleh melanjutkan pelajaran di situ," katanya.
  
Mengenai majlis konvokesyen hari ini, Ismail Sabri berkata pelajar yang menerima sijil dan diploma hari ini berasal dari kampung dan dilatih dalam pelbagai bidang antaranya memasak dan menjahit.
  
"Pelajaran mereka bukan terhenti setakat itu, yang mana berminat boleh melanjutkan pelajaran untuk mendapatkan sijil dan diploma. Peluang mereka ini agak besar kerana mereka boleh bekerja dengan pihak lain atau menjalankan perniagaan sendiri," katanya.  - Bernama

0 comments:

Post a Comment

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...