Perarakan bermula pukul 8 malam itu memukau kira-kira 5,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai peringkat umur untuk menyaksikan persembahan pelajar yang memaparkan kreativiti dan inovatif dalam mempersembahkan tarian kebudayaan serta kese­nian daripada 18 kumpulan yang mengambil bahagian.

Kolej Allamanda diumumkan menjuarai pertandingan Citrawarna Unimas 2015 bagi kategori kolej dan anugerah pakaian terbaik manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan menjuarai kategori sekolah menengah.

Tempat kedua bagi kategori kolej dimenangi oleh Kolej Bunga Raya dan tempat ketiga disandang oleh Kolej Cempaka.

Bagi kategori sekolah, tempat kedua disandang oleh SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor dan tempat ketiga, Sekolah Seni Malaysia.

Juara bagi kedua-dua kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 beserta piala, manakala tempat kedua mendapat wang tunai (RM1,500) dan piala, seterusnya tempat ketiga (RM1,000) dan piala.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Muda Pelancongan negeri, Datuk Talip Zulpilip.
Yang turut hadir, Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Mohd. Fadzil Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim.

Pesta Konvokesyen Unimas 2015 berlangsung selama tujuh hari mulai semalam hingga 17 November ini.

Pelbagai acara pengisian telah dirancang dan dilaksanakan sepanjang festival berlangsung termasuk pembukaan kira-kira 80 gerai yang merupakan terbanyak pernah disediakan oleh penganjur.

Antara acara menarik diadakan ialah Kejohanan Tarik Tali Terbuka Unimas, Duathlon Challenge, Pesta Buku Konvokesyen, Khatamal Al-Quran, Pertandingan Nyanyian Minus-One Unimas 2015, Battle of the Band, Pertandingan Senam Seni, Pertandingan Joran Persada, pameran agensi luar dan swasta serta Program Festival Jalanan Unimas.

Turut diadakan program berbentuk kesukanan dan kesihatan seperti ConFest Health Care Day dan Run4Life!, Konsert Perdana Festival Konvokesyen Unimas 2015 yang menampilkan kumpulan Drama Band, penyanyi tempatan Leez Zwita dan artis sedang meningkat popular berasal dari Sarawak, Ir Radzi.