Pelancaran kampus ketiga MMU yang akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin esok dilengkapi dengan teknologi canggih dan moden untuk kemudahan para pelajar Fakulti Seni Senimatik (FCA).

Naib Presiden (Akademik) MMU, Prof. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq berkata, program tersebut menawarkan silibus me­nyeluruh bertaraf antarabangsa selain mendapat ker­jasama School of Cinematic Arts (SCA) University of Southern California (USC) sejak Oktober 2014.

Katanya, kedudukan kampus baharu yang berdekatan dengan studio antarabangsa, Pinewoods Iskandar Malaysia Studios dapat menyediakan peluang kepada para pelajar untuk mempelajari secara terus dan lebih dekat tentang industri sinematik untuk menimba pengalaman kerja dalam lapangan.

“Program tersebut diperke­nal­kan sebagai menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan bakat dan tenaga mahir dalam industri kreatif di negara ini khusus­nya menerusi pro­duksi filem dan televisyen.

“Bidang seni senimatik amat penting bagi pembangunan negara dan MMU sentiasa memastikan program berkenaan relevan untuk keperluan industri bagi memaju pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Rafi berkata, program inovatif tersebut membolehkan para pelajar meneroka pelbagai bentuk seni bercirikan senimatik daripada konteks sosial dan industri yang dihasilkan serta digunakan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Utusan