Thursday, January 14, 2016

Menteri saran mahasiswa perlu bantuan tampil



SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Tinggi menyarankan agar mana-mana mahasiswa yang menghadapi masalah kewangan tampil memaklumkan kepada pihak universiti untuk tindakan lanjut oleh pihak kementerian.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, setiap universiti awam mempunyai pangkalan data mahasiswa berkeperluan dan golongan miskin ataupun B40 namun mungkin ada mahasiswa yang tercicir.

“Hingga menyebabkan bantuan tidak kesampaian. Senario ini akan terus terjadi sekiranya mahasiswa sendiri berdiam diri ataupun malu,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, kisah mahasiswa kelaparan menjadi topik perbincangan hangat di media-media sosial hingga ada yang mendakwa usus koyak gara-gara menahan lapar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mahasiswa juga boleh berkomunikasi melalui pensyarah, Majlis Perwakilan Pelajar ataupun rakan-rakan.

“Saya yakin mereka ini akan membantu. Mahasiswa juga persatuan pelajar, NGO dan orang awam juga diseru untuk menyampaikan maklumat pelajar kepada Kementerian atau pejabat timbalan naib canselor (Hal ehwal Pelajar),” katanya.

Katanya, beliau telah mengadakan perjumpaan bersama beberapa Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (TNC HEPA) Universiti Awam untuk membincangkan isu tersebut.

“Kami telah membincangkan beberapa isu termasuk usaha-usaha kebajikan di peringkat universiti, masalah yang dihadapi pelajar dan sebab-sebab mengapa mereka boleh lapar sampai ke tahap sebegitu, cara untuk meningkatkan dan membantu mengesan pelajar untuk mendapatkan bantuan, peranan universiti menyediakan peluang pekerjaan dalam kampus dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, beliau juga memaklumkan telah meminta setiap universiti awam untuk meningkatkan usaha-usaha kebajikan produktif mereka yang merupakan usaha melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran yang diperlukan untuk menangani isu-isu seperti kekurangan duit.

“Pada tahun 2015, seramai 6,813 mahasiswa bekerja sambilan atau sementara di universiti bagi membantu mereka menampung kos sara hidup dan pada masa yang sama menimba pengalaman pekerjaan. Kerja termasuk sebagai tutor, bekerja di pejabat, pembantu makmal dan sebagainya.

“Teringat ketika saya belajar dulu, saya pernah bekerja di stesen pam minyak, di restoran makanan segera sebagai delivery boy, dan juga sebagai jockey kereta. Saya bekerja untuk mendapatkan duit tambahan untuk membiayai kehidupan dan keluarga,” katanya.

Beliau juga mengakui bahawa bekerja sambil belajar merupakan satu cabaran namun katanya, dengan pengurusan masa yang baik, ianya menjadi satu pengalaman yang berharga.


0 comments:

Post a Comment

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...