Thursday, February 18, 2016

BIASISWA, DERMASISWA & PINJAMAN PENDIDIKAN


Ramai pelajar yang mungkin merungut kerana tidak banyak biasiswa yang ditawarkan... sebab ramai yang hanya fokus atau mungkin tahu dan nak dapatkan biasiswa sahaja, tak sebut pun dermasiswa atau mungkin jauh sekali tak nak sebut pun pasal pinjaman.
Saya tidak bertujuan untuk membincangkan tentang isu, tetapi lebih kepada untuk memberikan kefahaman.
BIASISWA - pelajar MESTI faham bahawa ini bukan duit free untuk diberi kepada mana-mana pelajar begitu sahaja. Pemberian biasiswa pada kebiasaannya datang bersama pakej seperti;

1. Jumlah penajaan yang merangkumi keseluruhan kos(yuran pengajian), sara hidup tiket penerbangan dll.. dan nilainya mungkin berbeza antara pemberi biasiswa. mungkin ada yang beri tiket pergi balik setiap tahun atau hanya sekali untuk pergi dan balik sahaja.... bergantung kepada pemberi biasiswa (suka hati dialah sebab duit dia)
2. Pelajar juga biasanya kena maintain pencapaian akademik contohnya kena maintain 3.00 every semester atau biasiswa untuk semester berikutnya akan digantung atau dipotong
3. Ikatan (bonding) ada penaja yang mensyaratkan penerima untuk MESTI melaporkan diri di pejabat pemberi biasiswa pada setiap kali cuti semester untuk intern (praktikal) selain daripada bonding (ikatan) di mana pelajar yang menerima biasiswa WAJIB berkerja untuk tempoh tertentu di organisasi atau syarikat yang memberikan biasiswa untuk tempoh tertentu mungkin hingga 6, 7, 8 ....atau 10 tahun - berdasarkan jumlah pembiayaan yang telah mereka berikan untuk pelajar belajar.
Maknanya duit biasiswa ni bukan duit free - ada ikatan yang penerima MESTI patuhi.
Untuk itulah pemberi biasiswa sangat memilih calon yang sesuai untuk diberikan biasiswa tersebut. Mereka tak mahu kerugian contohnya jika menaja pelajar dan pelajar tersebut gagal dalam pengajian. Sebab itulah jaminan utama adalah berdasarkan pencapaian pelajar untuk memohon biasiswa. Secara mudah, pelajar yang dapat lebih banyak A dalam SPM contohnya lebih terjamin mereka akan memperolehi pencapaian cemerlang di universiti (jauh sekali dari kegagalan) berbanding calon yang kurang bilangan A atau tiada A pun (walaupun mungkin ada yang dapat banyak A pun yang kemudiannya gagal) tetapi saringan ini boleh mengurangkan dan mengelakkan daripada ianya berlaku.
Suatu yang merugikan bila pelajar tajaan gagal dalam pengajian walaupun dalam perjanjian menerima biasiswa, pelajar kena bayar balik, tetapi pelajar pun mudah sahaja menjawab ...macamana saya nak bayar, saya gagal pengajian dan tentulah saya susah nak dapat kerja. Kalau saya tak kerja macamana saya nak bayar balik duit biasiswa ?
Sebab itulah biasiswa ni sangat susah untuk nak dapat, mesti akademik cemerlang, masa interview pun kena meyakinkan, masa belajar pun tak boleh main-main.
Apa yang PENTING pelajar kena tahu sebelum memohon atau menerima biasiswa adalah cita-cita pelajar sendiri jangan sampai biasiswa pula yang menjadi penghalang cita-cita pelajar. Contohnya seorang pelajar bidang kejuruteraan yang menerima biasiswa dari sebuah institusi kewangan seperti bank. Pelajar mesti tahu dan sedar bahawa setelah tamat pengajian akan ditempatkan untuk berkerja di bank. Sebaiknya pastikan dahulu apakah bentuk pekerjaan seorang berkelayakan ijazah kejuruteraan untuk berkerja di sebuah bank. Jangan sampai terperangkap berbanding rakan lain yang tidak terikat dengan biasiswa boleh bergerak berkerja di firma-firma perunding kejuruteraan, industri pembuatan yang berasaskan kejuruteraan dan lain-lain seumpamanya yang akan dengan cepat melayakkannya memperolehi kelayakan professional dengan gelaran Ir. pada pangkal nama setelah beberapa tahun bergraduat berbanding seorang yang terpaksa berkerja di dalam organisasi yang memberikannya biasiswa untuk belajar dahulu.
Namun jika bidangnya berkaitan - ianya tentulah satu kelebihan
DERMASISWA (sponsorship) adalah dalam bentuk pemberian secara "one-go" biasanya hanya dengan satu syarat utama - pemberian akan diberhentikan sekiranya pelajar gagal dalam pengajian.
Dermasiswa tidak mensyaratkan pelajar selepas tamat belajar untuk berkerja dengan syarikat atau organisasi yang memberikan dermasiswa. Dermasiswa biasanya datang daripada duit yang memang itulah tujuannya - untuk membantu pelajar yang tidak berkemampuan tetapi ada potensi.
Namun jumlah dermasiswa tidaklah sebanyak biasiswa - fikir balik padanlah jika ianya tidak banyak, sebab ianya tidak didatangkan dengan kontrak atau bonding selepas tamat belajar.
Bagi pemberi dermasiswa, risiko mereka tidak besar kerana pemberian dermasiswa boleh terus dihentikan jika pelajar gagal dalam pengajian dan jumlahnya tidak banyak.
Pemberi dermasiswa ini biasanya organisasi seperti Majlis Ugama Islam Selangor yang berkerjasama dengan Pusat Zakat Selangor yang memberikan dermasiswa untuk pelajar anak kelahiran Selangor belajar di timur tengan - Mesir, Jordan dan Morocco.
PINJAMAN adalah suatu yang berbeza sama sekali. Secara mudahnya setiap yang dipinjam mesti dipulangkan balik dan tiada ikatan atau bonding yang graduan mesti berkerja di mana-mana organisasi yang berkait dengan pemberi pinjaman. Graduan bebas untuk memohon dan memilih untuk berkerja di mana-mana organisasi.
Jika begitu maka biasiswa lebih baik sebab menjamin ada kerja selepas graduat dengan bonding - ya betul tetapi ianya datang dengan syarat untuk memohon yang lebih tinggi berbanding syarat untuk memohon pinjaman. Jadi kalau dapat keputusan cemerlang, mohonlah biasiswa; Dan kalau keputusan tak berapa cemerlang sangat, kena pinjam jugalah penyelesaiannya.
Syarat pinjaman juga tidaklah ketat seperti syarat untuk mendapatkan biasiswa. Syarat pinjaman PTPTN contohnya adalah sama dengan syarat kelayakan ke program pengajian berkenaan; Maknanya kalau dapat tempat belajar, dah pasti layak memohon pinjaman PTPTN.
Apa yang ditawarkan oleh PTPTN adalah untuk pelajar yang bergraduat Ijazah Sarjana Muda akan mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman sepenuhnya - maknanya tak perlu bayar balik dan "bukan ditukar menjadi biasiswa" jika anda telah faham apa yang dijelaskan terdahulu di atas tentang maksud biasiswa.
Kesimpulan mudah

Kalau nak dapat biasiswa - pastikan memperolehi keputusan cemerlang - straight A atau 9 A+ untuk biasiswa bursary Kementerian Pendidikan Malaysia
Begitu juga dermasiswa - cuma mungkin tak sebanyak biasiswa, tetapi untuk mendapatkannya perlu melalui proses yang agak sama dengan permohona biasiswa.
Dan kalau keputusan yang sederhana - kenalah memohon pinjaman PTPTN, tetapi belajarlah bersungguh-sungguh untuk keputusan cemerlang untuk melayakkan mendapat pengecualian bayaran balik jika bergraduat dengan Ijazah kelas pertama
Saya mohon maaf saya tak sebut dan tolong jangan tanya tentang pinjaman MARA kerana setakat ini pinjaman MARA hanya untuk pelajar di institusi di bawah MARA sahaja - yang pelajar boleh rujuk terus dengan institusi berkenaan. Untuk pinjaman MARA di IPTS, Saya perlu mengelakkan daripada menimbulkan seberang kekeliruan dengan tidak memberikan apa-apa pendapat sehingga saya mendapat penjelasan sepenuhnya daripada pihak MARA sendiri.

0 comments:

Post a Comment

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...