![]() |
Gambar Hiasan |
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara
dasarnya membenarkan graduan farmasi tajaannya untuk mengikuti latihan Pegawai
Farmasi Provisional (PRP) di 146 premis latihan swasta yang diiktiraf.
Dalam kenyataan hari ini, JPA
berkata, kesemua premis tersebut telah mendapat pengiktirafan daripada Lembaga
Farmasi Malaysia (LFM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) selaku
institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh LFM.
Kenyataan tersebut
dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap aduan yang disiarkan dalam akhbar The
Star bertajuk 'Desperately waiting for a post' hari ini (16 Feb).
Jelas jabatan tersebut,
urusan mengenai pengambilan pekerjaan dalam perkhidmatan awam adalah tertakluk
di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
"Sehubungan itu, graduan
tajaan JPA juga tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditentukan oleh pihak
SPA.
"Calon yang berjaya
semasa temuduga SPA tersebut akan diberi penempatan oleh Kementerian Kesihatan
(KKM) bergantung kepada kekosongan sedia ada," katanya.
Laman portal rasmi Bahagian
Perkhidmatan Farmasi KKM menyatakan PRP hanya dibenarkan menjalani latihan
provisional di premis latihan yang tersenarai dalam Jadual Kedua, Akta
Pendaftaran Ahli Farmasi 1951.
Tempat latihan tersebut
adalah sama ada di fasiliti hospital kerajaan atau institusi ataupun di
fasiliti swasta tempatan (farmasi komuniti, hospital swasta, industri
farmaseutikal serta penyelidikan dan pembangunan) yang diiktiraf oleh LFM.
Laman web itu turut
memaklumkan bahawa premis yang telah mendapat pengiktirafan LFM dibenarkan
membuat pengambilan PRP seterusnya memberi latihan kepada PRP. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment
SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA