Tuesday, February 2, 2016

Luahan bakal guru


KAMI (barisan guru muda) adalah kakitangan awam. Kami adalah pelaksana kepada wawasan pendidikan negara. Sememang­nya takdir pelajar-pelajar institut pen­didikan guru (IPG) yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah termaktub apabila kami akhirnya akan bertugas di seluruh negara sehingga ceruk paling jauh bagi memuliakan insan dengan pendidikan.

Ada dalam kalangan kami yang memohon menjadi guru pada asalnya hanya sekadar untuk jaminan kerjaya tetapi ketika berada dalam pengajian iaitu sepanjang tempoh program pra-persediaan dan ijazah niat tersebut telah berubah.

Untuk memasuki IPG pula kami perlu menandatangani satu akujanji. Yang lulus segala macam ujian dan temuduga dalam proses kemasukan IPG akan diberi masa sebulan sebelum akujanji itu ditandatangani.

Kami mempunyai pilihan sama ada untuk menandatanganinya dengan rela hati atau sebaliknya. Jika telah diisi, kami dianggap telah menyerahkan baki hidup kami kepada dunia pendidikan.

Sering disilap faham, apabila kami mengisi borang akujanji itu, kami dianggap mahu selesaikan segera urusan elaun sedang­kan borang itu diisi dengan kepercayaan bahawa kerajaan akan menjaga kebajikan kami.

Jika tidak memberi kami kemewahan, sekurang-kurangnya memberi nafas kepada kami untuk terus belajar demi menjadi pendidik anak bangsa yang baik.

Mungkin sebahagian akan berhujah, bahawa sebagai bakal pendidik, guru pelatih perlu berkorban untuk negara dengan sanggup membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Barangkali penyerahan seluruh baki usia kami kepada pendidikan negara belum mencukupi sehingga syor ini dikemukakan.

Hakikatnya, pinjaman PTPTN juga tidak akan menyelesaikan isu ekonomi yang sedang meruncing. Kerajaan masih terpaksa memper­untukkan sejumlah wang untuk dipinjamkan kepada guru-guru pelatih. Pada akhirnya, pinjaman ini tidak semestinya akan terbayar ekoran timbul masalah penempatan guru baharu yang masih perlu diselesaikan. Situasinya masih tetap sama.


Bahkan, ketidakadilan lebih besar akan berlaku. Sijil ijazah IPG hanya diperakukan mengikut kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia berbanding sijil ijazah yang diperoleh dari universiti awam dan swasta yang lebih laku di peringkat kerajaan mahupun swasta.

Kami juga percaya, yang me­nulis artikel Syor mansuh elaun pelajar IPG pernah dididik oleh seorang insan bernama guru. Alangkah berbangganya gurunya jika membaca nukilannya itu. Malangnya, keadilan yang dicanang tersalah neraca apabila tidak melihat kepada keseluruhan ruang lingkup pengorbanan barisan pemuda yang menghambakan diri kepada bidang pendidikan.

Dalam masa sama, kami juga menyeru agar para graduan pendidik IPG membuktikan bahawa transaksi berupa akujanji yang te­lah mereka tandatangani itu berbaloi. Para calon guru ini perlu lebih peka kepada status pendidikan negara, peranan dan tanggungjawab sosial yang perlu dipikul.

Barisan calon pendidik ini juga perlu lebih kerap membaca. Mereka juga tidak sewajarnya mem­belanjakan elaun hanya kepada perkara remeh-temeh, sebaliknya hendaklah dibelanjakan untuk tujuan mentransformasikan diri ke arah menjadi bakal pendidik anak bangsa lebih berkualiti.

BAKAL PENDIDIK

Labu, Negeri Sembilan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/forum/luahan-bakal-guru-1.185577#sthash.tCEGWSht.dpuf


0 comments:

Post a Comment

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...