Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dasar penghantaran pelajar Malaysia ke luar negara dilihat tidak selari dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar asing belajar di negara ini.

“Setiap tahun kita menghantar lebih 1,000 pelajar ke luar negara dan pada masa yang sama membuat promosi di luar negara untuk membawa pelajar luar datang ke sini yang nampak tidak selari de­ngan apa yang dilakukan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan.

“Jadi, kita sedang buat kajian sama ada mungkin hantar juga pelajar Mara ke luar negara tetapi separuh belajar di sini (di dalam negara) dan separuh lagi di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong Jaya, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Guru Besar SK Kerayong Jaya, Mohamed Al-Awal Othman.

Menurut Ismail Sabri, usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan yang telah menarik minat ramai pelajar luar negara seperti dari China perlu diberi sokongan semua pihak.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu dan menyediakan kertas Kabinet untuk mendapatkan persetujuan dalam masa terdekat bagi mengkaji semula penghantaran pelajar ke luar negara.

Tambahnya, tindakan kerajaan mengkaji semula penghantaran pelajar Mara ke luar negara bukanlah disebabkan oleh kegawatan ekonomi sebaliknya bagi memastikan ia selari dengan dasar kerajaan.

“Kita sudah mendapat bajet daripada kerajaan malah sebelum ini kita pernah kekurangan 30 pe­ratus bajet disebabkan perbezaan pertukaran wang asing khususnya di United Kingdom tetapi kerajaan berusaha menampung kekurangan itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meng­ingatkan kepada semua pelajar yang ingin mendapatkan penajaan Mara supaya membuat permohonan terlebih dahulu sebelum mendaftar sebagai pelajar di mana-mana institusi pendidikan.

Katanya, langkah tersebut pen­ting bagi memastikan Mara mempunyai bajet yang cukup untuk menampung penajaan berkenaan sekali gus tidak akan membebankan pelajar terbabit.

Sementara itu, mengulas mengenai usaha menjadikan Bera sebagai hab pendidikan di negara ini beliau berkata, kerajaan telah meluluskan pembinaan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di daerah ini.

Ujarnya, pada masa ini pihaknya sedang giat menyiapkan pelan dan mengenal pasti tapak yang sesuai sebelum proses pembinaan dimulakan dalam waktu terdekat.