Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah tersebut adalah untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung peminjam akibat kerugian serta kerosakan barangan rumah disebabkan banjir.

“Kepada peminjam yang terlibat, kita faham pada waktu begini mereka mengalami kesukaran untuk membuat bayaran dan sebagainya, oleh itu cara ini dapat meringankan beban mereka.

“Mereka perlu berhubung de­ngan mana-mana kaunter PTPTN di negeri ini atau berjumpa de­ngan pegawai kita untuk membuat penstrukturan dan penjadualan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di Balai raya Seri Bayu, di sini hari ini.

Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak tujuh pusat pemindahan telah dibuka dan menempatkan sebanyak 1,480 mangsa di sekitar Alor Gajah meliputi 329 buah keluarga.

Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan itu ialah 499 orang daripada 82 keluarga.

Enam lagi tempat pemindahan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ganun (60 orang), Balai raya Bukit Balai Durian Tunggal (18 orang), Balai raya Bukit Tambun (lapan orang), SK Belimbing Dalam (552 orang), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan (309 orang) dan Balai raya Kampung Beringin (34 orang).

Shamsul Anuar yang juga Pe­ngerusi Biro Kebajikan UMNO ber­kata, pihaknya akan memfokuskan bantuan pasca banjir kepada mangsa bencana selepas mereka pulang ke rumah.

Katanya, perkara ini penting kerana penduduk terlibat pasti mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda akibat bencana banjir ini.

“Sebelum bantuan pasca banjir, kita akan memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa terlibat dengan kadar segera.

“Biro Kebajikan bersama UMNO negeri akan sentiasa bekerjasama supaya setiap mangsa diberikan bantuan. Bagaimanapun, kita akan memberikan bantuan terutama pada fasa selepas banjir pulih dan mangsa pulang ke rumah,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama UMNO bahagian telah membuat lawatan ke Melaka dan Negeri Sembilan untuk melihat sendiri keadaan banjir yang berlaku.

Mengulas mengenai keadaan banjir, Shamsul Anuar berkata, pihaknya berharap mangsa bersabar dengan dugaan yang dihadapi mereka.

“Kita melahirkan rasa simpati berikutan masalah yang dialami mangsa akibat bencana ini dan ber­harap mereka sabar dengan ujian yang dihadapi.

“Malah, mangsa jangan khua­tir kerana pelbagai pihak sedang membantu termasuk Biro Kebajikan UMNO,” katanya.