Program Peneraju Tunas Potensi 2016 merupakan program pembiayaan pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar bumiputera yang layak untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Pelajar yang terpilih bakal menikmati pembiayaan pendidikan melibatkan yuran akademik, elaun sara hidup, elaun tempat tinggal dan berpeluang menyertai Program Pemupukan Pembangunan Insaniah serta penekanan dalam Bahasa Inggeris.


Ketua Eksekutifnya, Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, melalui Program Peneraju Tunas Potensi ia merupakan landasan terbaik pelajar lepasan SPM dan STPM yang mendapat keputusan yang sederhana sehingga cemerlang serta daripada latar belakang keluarga yang susah berpeluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

“Kami sedar di luar sana ramai bakat-bakat muda yang berpotensi tetapi tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi disebabkan masalah kewangan.

“Dengan adanya pembiayaan pendidikan seperti ini, saya percaya ianya memberi harapan baharu kepada golongan ini untuk mengubah hidup mereka ke arah masa depan yang lebih cemerlang,”katanya.

Sejak penubuhan Yayasan Peneraju tiga tahun lalu lebih 8,000 bakat-bakat bumiputera telah mendapat faedah daripada program anjuran Yayasan Peneraju iaitu program Peneraju Tunas, Peneraju Kemahiran dan Peneraju Profesional.

Pada 2012, Yayasan Peneraju telah menaja lebih 700 pelajar untuk program Peneraju Tunas Potensi sehingga berjaya melahirkan graduan dalam menjawat jawatan dalam pekerjaan.

Fokus 2016, Yayasan Peneraju terus berusaha menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk bakat bumiputera dalam industri perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan, kandungan dan infrastruktur komunikasi, elektrik dan elektronik, penjagaan kesihatan, minyak dan gas, aeroangkasa dan automotif.

Melalui Pelan Tindakan Yayasan Peneraju Roadmap To 2020, dijangka 40,000 bakat Bumiputera akan menerima manfaat daripada program-program anjuran Yayasan Peneraju sehingga 2020 yang menyasarkan golongan bumiputera di kawasan bandar dan luar bandar dari lepasan UPSR hingga yang telah bekerja.

Permohonan untuk Peneraju Tunas Potensi ini boleh dilakukan secara atas talian di laman web www.yayasanpeneraju.com. untuk menyemak senarai IPTS, bidang kursus serta syarat-syarat kelayakan. Tarikh tutup permohonan ialah pada 25 Mac 2016.

Artikel Berkaitan: Biasiswa Yayasan Peneraju