Tuesday, February 2, 2016

Yayasan Terengganu henti hantar pelajar ke 
luar negara

Mohamad Sulong

KUALA TERENGGANU 1 Feb. – Yayasan Terengganu (YT) mengambil keputusan untuk menghentikan sementara penghantaran para pelajar tajaannya dari negeri ini bagi menyambung pengajian ke luar negara bermula tahun ini.

Pengarah­nya, Mohamad Sulong ketika mengesahkan perkara itu mengakui, langkah itu diambil berikutan pelbagai masalah dan kekangan termasuk kewangan yang dihadapi kerajaan negeri ketika ini.

Beliau menjelaskan, tindakan itu juga diambil selaras dengan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang mengurangkan penghantaran jumlah pelajar untuk menuntut di universiti luar negara.

Menurutnya, sebagai alternatif, pelajar berkenaan akan ditempatkan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan sehingga keadaan ekonomi kembali pulih.

“Kita menghentikan penghantaran pelajar tajaan kita (YT) ke luar negara mulai tahun ini kerana masalah kewangan dan sebagainya.

“Begitu juga dengan JPA dan Mara yang mengurangkan penghantaran pelajar tajaan mereka ke luar negara. Kita sedia maklum bahawa IPT awam pun tidak kurang hebatnya dan sebab itulah kita cuba beri tumpuan kepada universiti dalam negara,” katanya selepas menyempurnakan majlis Himpunan Tahunan Warga Kerja Yayasan Terengganu 2016 di Dewan Wisma Seri Amar, di sini hari ini.


Mohamad berkata, sebelum ini, YT menghantar pelajar tajaannya terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk perubatan di beberapa universiti luar negara.

Beliau turut memberi jaminan, pelajar yang sepatutnya dihantar ke luar negara masih mempunyai peluang untuk menyambung pengajian masing-masing ke IPT awam tempatan sama ada di bawah tajaan YT, JPA atau Mara.

“Tahun lalu, lebih kurang 40 pelajar kita dihantar ke luar negara bagi mengikuti pelbagai bidang termasuk 16 pelajar lepasan SPM dan setiap tahun kita cuba kurangkan jumlah mereka ke sana dari tahun ke tahun,” katanya.


- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/yt-henti-hantar-pelajar-ke-8232-luar-negara-1.185825#sthash.oTaQCsw8.dpuf


0 comments:

Post a Comment

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...