Azree Feekree Zamzuri, 20, yang mendapat keputusan 4A dalam kesemua empat mata pelajaran STPM, merupakan anak seorang kerani di kilang percetakan Kumpulan Utusan di Bangi, Selangor.
Mengalami kecacatan penglihatan sejak lahir, dia telah mengharungi pelbagai cabaran dalam menimba ilmunya, termasuk terpaksa berulang-alik sejauh 40 kilometer setiap hari ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan St. John, Kuala Lumpur dari rumahnya di Semenyih, Selangor.
“Setiap hari, saya perlu keluar rumah pada pukul 6 pagi dan akan tiba di rumah 13 jam kemudian dengan menaiki kereta dipandu ayah. Ia menjadi pendorong kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian anugerah sekolah terbaik dan pelajar terbaik STPM dan MUET 2015 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE