Wednesday, March 2, 2016

Lambakan doktor pelatih, Kementerian cadang bekukan kursus perubatan

Gambar Hiasan

Kementerian Pendidikan Tinggi akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan terhadap cadangan pembekuan kursus perubatan baharu dan tawaran kursus perubatan oleh institusi pengajian tinggi dalam usaha mengurangkan lambakan doktor pelatih di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, jalan penyelesaian yang akan memanfaatkan industri perubatan akan dicari.

"Kita akan berbincang dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam kerana ketika ini kursus berkenaan dibekukan, tetapi apabila tempoh itu tamat nanti, akan ditentukan sama ada mahu dihentikan atau tidak.

"Sekiranya wujud keperluan untuk meneruskan, maka kita akan meneruskannya, sebab kita bekerjasama rapat dalam hal ini," katanya selepas majlis beramah mesra dengan Pemimpin Perwakilan Mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Dewan Cancelor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang turut dihadiri Timbalanya Datuk Mary Yap.

Terdahulu Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah melanjutkan pembekuan kursus baharu perubatan merupakan persetujuan yang dicapai kerajaan pada 2011 bagi memastikan kualiti institusi perubatan sedia ada dipertingkatkan.

Menurutnya, ia juga bertujuan mengatasi kebanjiran bakal doktor yang akan menamatkan pengajian di 32 universiti awam selain lebih 360 program perubatan di 36 negara termasuk Myanmar, Republik Czech, Sri Lanka, Iraq, Rusia dan Ukraine.

Daripada 4,140 graduan perubatan yang menjadi doktor pelatih pada tahun 2015,  seramai 2,195 orang merupakan pnuntut universiti awam di negara ini manakala selebihnya dari universiti luar negara.

Pada 2013, seramai 4,991 graduan melaporkan diri sebagai doktor pelatih namun bilangannya berkurangan pada 2014 (3,860 orang) dan 4,140 orang pada 2015.


0 comments:

Post a Comment

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...