Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, projek di bawah Malaysian Youth Community! (MYC!) itu menyenaraikan nama syarikat atau agensi pekerjaan yang menawarkan kerja sambilan dengan waktu kerja fleksibel menerusi laman web MYC.com.my/projekberdikari.
“Projek itu diharap dapat membantu mereka menangani peningkatan kos sara hidup selain melatih mahasiswa supaya menjadi lebih berdisiplin dan berdikari bagi menjana pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama pemimpin mahasiswa IPT di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dekat sini, hari ini.
Terdahulu, Idris turut mengadakan sesi dialog bersama pemimpin mahasiswa institusi pengajian tinggi serta menyerahkan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada wakil pemimpin mahasiswa.
Beliau berkata, sebanyak RM300 juta diperuntukkan untuk baucar bernilai RM250 itu yang akan memberi manfaat kepada 1.2 juta mahasiswa.
Mengulas lanjut, Idris menjelaskan, mahasiswa berpeluang untuk memilih bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan minat mereka menerusi laman sesawang projek tersebut yang menyenaraikan nama syarikat atau agensi pekerjaan serta waktu kerja yang fleksibel.
Beliau turut meminta pelajar yang benar-benar mempunyai masalah kewangan supaya segera menghubungi bahagian hal ehwal pelajar universiti masing-masing bagi mengatasi masalah mereka.
“Ini kerana kita hanya menggunakan RM5 juta daripada RM15 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi membantu pelajar yang berdepan dengan masalah kewangan sejak tahun lalu,” kata beliau.