Thursday, January 31, 2019

Penganggur IPTA Lebih Tinggi

ARKIB : 01/05/2005

Penganggur IPTA lebih tinggi




IPOH 30 April - Lembaga Akreditasi Negara (LAN) mendapati jumlah graduan menganggur dari lepasan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lebih tinggi berbanding Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Pengerusi dan Ketua Eksekutif LAN, Datuk Dr. Mohamed Suleiman berkata, maklum balas yang diterima daripada IPTS menunjukkan pelajar mereka tidak menghadapi masalah dalam mendapatkan peluang pekerjaan.
``Ini adalah maklum balas yang saya terima daripada IPTS. Tetapi saya tidak mempunyai statistik terperinci berkenaan dengan perkara itu,'' katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia Zon Tengah 2005 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Katanya, antara sebab kurangnya pengangguran di kalangan graduan IPTS kerana pendekatan institusi pengajian tinggi itu sendiri yang lebih menekankan kursus dan program berorientasikan kehendak pasaran pekerjaan.
``Kebanyakan kursus yang mereka tawarkan relevan dengan kehendak pasaran dan industri,'' katanya yang mewakili Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh.
Ditanya sama ada IPTA juga patut mengikut pendekatan yang dilaksanakan oleh IPTS supaya graduan mereka juga diterima secara baik dalam pasaran pekerjaan, Dr. Mohamed enggan mengulas tetapi mengakui kebanyakan yang menganggur adalah siswazah daripada kursus sains sosial.
Katanya, antara pendekatan yang diambil termasuklah melaksanakan kursus `dwi pengkhususan' kerana dengan ini sahaja kursus-kursus yang disediakan itu dapat disesuaikan dengan kehendak pasaran.
``Sebagai contoh, pelajar-pelajar yang mengambil kursus Pengajian Islam sekarang perlu mengambil satu lagi kursus seperti Teknologi Maklumat dan sebagainya supaya mereka dapat memenuhi kehendak pasaran pekerjaan,'' katanya.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm#ixzz5eA9wUE8i 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...