Tuesday, July 9, 2019

Bau 'misteri' pada waktu malam, selepas hujan di Pasir Gudang

Bau 'misteri' pada waktu malam, selepas hujan di Pasir Gudang
   Pada 20 Jun lepas, 15 murid Sekolah Agama Taman       Mawar, manakala 13 murid Sekolah Kebangsaan Pasir   Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah,       dipercayai akibat terhidu udara yang tercemar itu. -     Gambar  fail





















  JOHOR BAHRU: Belum pun lega daripada krisis pencemaran kimia di Sungai Kim Kim 
  pada Mac lepas, penduduk Pasir Gudang diuji lagi dengan insiden pencemaran udara sejak 
  20 Jun lepas yang sehingga kini belum diketahui puncanya.

  Berdasar aduan mangsa, bau busuk yang melampau menyebabkan mereka mengalami 
  simptom sesak nafas dan muntah, dan aduan itu ada asasnya apabila bau itu turut menangkap 
  hidung wartawan dan jurugambar Bernama yang membuat tinjauan di beberapa kawasan 
  terjejas.

  Bau busuk dan tengik semakin kuat semasa cuaca gerimis ketika Bernama berada di beberapa 
  kawasan perumahan seperti Taman Mawar, Taman Pasir Gudang dan Taman Bukit Dahlia 
  yang tidak jauh dari Sekolah Agama Taman Mawar, iaitu sekolah pertama yang terjejas dalam 
  insiden hampir 10 hari lalu.

  Malah bau itu dapat dihidu sebaik memasuki kawasan terlibat walaupun berada dalam kereta 
  dengan pendingin hawa, sehingga kedua-dua petugas mengalami rasa pening serta sukar untuk 
  bernafas.

  Apa yang dilalui petugas Bernama itu turut diakui beberapa penduduk yang menyifatkan 
  bauan itu bukan sahaja tidak menyenangkan, tetapi juga membimbangkan.

  Malah, bau yang disifatkan penduduk sebagai 'pelik' itu semakin kuat pada waktu malam dan 
  selepas hujan dan telah menyelubungi kehidupan harian mereka sejak insiden pencemaran 
  bahan kimia Sungai Kim Kim Mac lepas.

  Raja Ismail Raja Atan, 45, yang tinggal di Taman Pasir Putih, iaitu kira-kira 50 meter dari 
  Sungai Kim Kim berkata kekerapan bau busuk dan tengik itu mula 'naik' selepas pukul 10 
  malam sehingga mengakibatkan sakit kepala, pening dan loya sekiranya terhidu.

  "Sebenarnya, bau itu dah lama kami hidu, semasa kejadian Sungai Kim Kim dah ada bau 
  busuk itu, cuma sekarang ia agak teruk sebab semakin ramai yang alami muntah, loya, 
  pening dan sebagainya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya.

  Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin 
  dalam sidang media mengesahkan tiga gas dikesan dalam insiden gangguan kesihatan 
  di daerah itu iaitu gas metil merkaptan, akrilonitril dan akrolein.

  Kehadiran ketiga-tiga gas itu katanya boleh memberi kesan kepada kumpulan yang 
  berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asma, namun mengesahkan ketiga-tiga 
  gas itu tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing 10 pesakit daripada lapan buah 
  sekolah yang telah dianalisis.

  Berkongsi pengalaman, kerani bank, Farhanah Rahim, 32, yang tinggal di Taman Bukit 
  Dahlia terletak kurang 3.5 kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar, berkata beliau 
  seakan sudah 'kebal' dengan bau misteri yang membelenggu kawasan tempat tinggalnya 
  sejak beberapa bulan lepas.

  "Kami penduduk di sini macam dah terbiasa dengan segala bau di Pasir Gudang ini sebab 
  macam-macam bau ada pada waktu tertentu. Kadang-kadang bau busuk ada...bau tengik 
  ada dan bau itu memang susah nak describe macam mana," katanya.

  Bagaimanapun katanya pencemaran yang tidak diketahui puncanya dan telah berlarutan 
  selama seminggu itu, mengakibatkan matanya pedih bila berada di kawasan terbuka serta 
  sakit tekak.

  Seorang penduduk di Taman Mawar, yang hanya ingin dikenali sebagai Bob (he) 
  menyuarakan kebimbangan dan kegusarannya bahawa isu sebegini mampu memberi 
  kesan lebih teruk pada masa hadapan terhadap seluruh penduduk daerah itu.

  "Secara logik, sekarang ramai yang alami muntah-muntah, pening, cirit birit tetapi saya 
  risau mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi kami boleh terkena kesan 
  sampingan lain disebabkan bau 'misteri' ini," katanya.

  Setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui kenyataan memaklumkan seramai 
  748 orang terdiri daripada 709 menerima rawatan pesakit luar dan 39 orang dimasukkan 
  ke dalam wad sehingga semalam (27 Jun).

  Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 475 institusi pendidikan di bawah Kementerian 
  Pendidikan Malaysia (KPM) di daerah Pasir Gudang diarah tutup serta merta selama tiga
   hari, bermula 25 hingga 27 Jun lepas, disebabkan pencemaran gas yang berlaku sejak 
  Khamis minggu lalu.

  Pada 20 Jun lepas, 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar, manakala 13 murid Sekolah 
  Kebangsaan Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat 
  terhidu udara yang tercemar itu.

  Ia merupakan pencemaran kali kedua berlaku di Pasir Gudang selepas kejadian 
  pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim tiga bulan lalu, yang menyaksikan lebih 
  4,000 orang jatuh sakit dan 111 buah sekolah ditutup.

  Rata-rata penduduk Pasir Gudang menggesa kerajaan dan pihak berkuasa terlibat 
  menyelesaikan isu pencemaran dan mengenal pasti punca bau 'misteri' itu secepat 
  mungkin kerana bimbang keadaan akan menjadi semakin teruk, terutamanya kepada 
  kanak-kanak yang mudah terkesan dengan pencemaran itu.

0 comments:

Post a Comment

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...